Sunday, November 28, 2010

About LALANGs .


Skuad emas negara sememangnya adalah mutiara baru negara. Mereka dijulang sebagai hero oleh penyokong bolasepak negara setelah pulang dengan pingat emas Sukan Sea 2009. Terbaru, mereka menewaskan pasukan olimpik Korea Selatan.
Namun, bagi yang tidak meminati bolasepak tempatan, mereka tidak kisah, malah memandang rendah pasukan kebangsaan tak kira di peringkat mana sekalipun. Adakalanya, ada yang mengkritik, tetapi langsung tidak mengenali pemain-pemain
tempatan.

Di sinilah terserlah kekurangan semangat kenegaraan dan jati diri peminat bolasepak tempatan. Di negara lain terutamanya di sekitar Asia Tenggara, semangat bolasepak di peringkat kebangsaan amat baik berbanding Malaysia. Walhal
standard pasukan kebangsaan negara masing-masing adalah sama pada saat ini. Negara seperti Indonesia mempunyai sambutan penyokong dan peminat yang amat memberangsangkan. Malah, peminat dan penyokong bolasepak Singapura
turut menyayangi pasukan kebangsaan mereka walaupun sambutan Liga S dikalangan peminat dan penyokong di sana hanya ala kadar seperti di Malaysia.

Negara berbeza dengan kelab antarabangsa. Itu pengertian yang harus difahami oleh peminat bolasepak di dalam Malaysia. Di Malaysia, rata-rata peminat bolasepak terutamanya yang masih hijau dan muda, amat mementingkan pasukan kelab antarabangsa berbanding negeri dan negara sendiri. Ya, Liga Malaysia tidak menarik berbanding liga-liga antarabangsa. Tetapi, ia tetap adalah liga tempatan yang melahirkan pemain-pemain tempatan kita. Seburuk-buruk imej Liga Malaysia, buruklagi sikap peminat bolasepak di dalam Malaysia yang seakan-akan lalang. Sekali ditiup angin, ikutlah ia akan angin tersebut. Sekurang-kurangnya, mereka, pemain-pemain di dalam Malaysia, berani membawa nama pasukan negeri dan negara. Bagaimana dengan anda? Apa sumbangan anda tiap kali mengeluarkan kritikan-kritikan sinis untuk pasukan negeri mahupun kebangsaan. Pernah anda menyumbang apa-apa untuk pembangunan pasukan negeri dan negara anda? Sekurang-kurangnya anda boleh membantu mereka dari segi kewangan dengan menjengah ke stadium masing-masing.
Itulah sumbangan paling minimum yang rasanya boleh anda sumbangkan. Itulah sumber penting untuk mereka untuk terus releven sebagai sebuah pasukan.

Membesar di era awal 90an sememangnya membuatkan seseorang lebih menyayangi pasukan negeri dan negara. Itulah realitinya. Kekurangan peminat ke stadium juga berpunca daripada kehadiran saluran Astro ke dalam Malaysia sekitar tahun 2000. Ibubapa, malah kawan-kawan mendidik generasi ketika itu untuk melepak dikedai makan atau kedai mamak untuk menonton aksi liga antarabangsa terutamanya BPL.Dan aksinya terhad hanya di kotak TV! Tidak seperti generasi lama dan generasi diawal 90an. Mereka pergi atau dibawa ke stadium menonton aksi pasukan negeri

masing-masing. Disitulah lahirnya semangat kenegaraan dan jati diri yang tebal. Tidak
mustahil, apabila generasi-generasi BPL ini sudah dewasa, bolasepak negara akan pupus terus kalau dibiarkan berterusan seperti sekarang. Tidak salah menonton liga-liga luar terutamanya yang mempunyai permainan yang menarik tetapi janganlah lupa diri dan asal-usul anda. Di Asia Tenggara, hanya di Malaysia yang amat fanatik terhadap liga-liga luar. Di negara Asia Tenggara lain,sekiranya pasukan kebangsaan mereka beraksi, peminat dan penyokong akan tetap hadir memberikan sokongan, kerana, ia membabitkan pasukan negara kelahiran mereka. Mereka mempunyai
kesedaran tinggi berbanding peminat-peminat di Malaysia. Disebabkan itulah, peminat bolasepak di Malaysia amat sesuai digelar sebagai lalang yang suka ditiup angin. Angin BPL datang membawa mereka terus hanyut ke dalam dunia bolasepak TV yang tiada kesudahannya.

Cuba perhatikan dari sudut positif pasukan Kelantan. Hari sabtu, pekan dan kawasan sekitar di Kota Bharu kosong kerana semua pergi ke stadium menyaksikan pasukan negeri mereka beraksi. Di situlah terjana kewangan pasukan mereka dan sekarang mereka boleh bermegah dengan Café bolasepak mereka sendiri berhampiran stadium, produk-produk bolasepak mereka sendiri, malah radio bolasepak mereka sendiri, dan tidak lama lagi stadium bolasepak baru mereka. Kalau penyokong Kelantan mampu melakukannya, anda bagaimana?

Liga Malaysia memerlukan sokongan dan kehadiran peminat dan penyokong. Masalah pengurusan FAM hanyalah sebahagian daripada kekusutan prestasi pasukan kebangsaan selama ini. Kehadiran penonton dan penyokong juga menambahkan lagi
kekusutan tersebut. Tanpa penonton dan penyokong, sumber kewangan pasukan- pasukan negeri sedikit terjejas. Tanpa penonton, pemain tidak bersemangat untuk beraksi. Bantulah mereka dari segi itu daripada hanya mengeluarkan kritikan sinis yang tidak membangun. Sedarlah wahai lalang-lalang di Malaysia. Pasukan kebangsaan kita sedang meningkat sedikit demi sedikit dan mereka memerlukan anda dibelakang mereka. Cukuplah mengkritik, kerana sekarang adalah masa untuk membantu.Bolasepak kita, Wajah kita.

No comments:

Post a Comment